COPY RIGHT

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Novel Bisikan Cinta : BAB 5

Siti Norshimah Md Yasan | 4:34 PM |
BAB 5

Maya memerhatikan anak ayam yang berkeliaran di halaman dengan penuh khusyuk.  Buah jambu air yang berada di dalam baldi dicapai.  Ruang hatinya kini disapa kerinduan yang amat sangat.  Rindu buat yang tersayang kini kian menebal.  Sungguh pun jodoh yang ditentukan oleh keluarga adalah luar dari dugaannya namun rentetan perjalanan masa memberikan ruang untuk dirinya menanamkan rasa kasih dan sayang kepada insan yang bernama Bakhtiar yang juga kini menjadi tunangannya.  Namun begitu, sejak akhir-akhir ini perilaku Bakhtiar yang banyak berubah memberikan teka-teki kepada Maya. 
            Hatinya sering kali bertanya, adakah Bakhtiar mempunyai perasaan sepertinya.  Punya kasih dan sayang…. Bersulamkan cinta yang kian berputik.  Atau pun masih belum bercambah tunas-tunas supaya memaksa dirinya menanti.  Tetapi sampai bila?  Mungkinkah dia malu untuk menyatakan isi hatinya?  Mestikah aku yang memulakan dahulu? Ah, tak manis kalau perempuan yang mulakan dulu.  Nanti apa pula kata orang.
            “Maya,”  Maya tersentak.  Dia berpaling.  Wajah ibunya kini jelas berada di depan mata.  Mariam melabuhkan punggung di sisi Maya.  Wajah anak kesayangannya itu ditatap. 
            “La… kenapa dengan mak ni? Tenung orang macam nak makan je.” Mariam mengeluh.  Seperti ada sesuatu yang hendak dinyatakan. 
            “Kenapa mak?  Ada yang tak kena ke?”
            “Emak ni risau tengok kau.  Bila lagi kau nak kahwin.  Mak bukan apa, kalau bertunang lama-lama ni bukannya elok.  Kalau cepat lagi bagus.  Mak dah berbincang dengan Mak Alang kamu.  Dia pun tanya perkara yang sama.  Dia cuma menanti keputusan kamu.  Dia bercadang nak buat majlis bulan 5 nanti.  Tapi mak minta tangguh dulu.  Mak nak berbincang dengan kamu.  Mak harap kamu janganlah berdolak-dalik lagi.  Mak risau.  Umur kamu pun makin lama makin meningkat. Sekarang pun dah masuk 26 tahun.  Bukannya 16 tahun.  Kalau mak masa dulu-dulu gerenti orang dah mengatakan kamu tu anak dara tua.”
            “Mak, Maya tak kisah bila saja yang mak nak tetapkan.  Maya cuma ikut.  Tentang modal, mak janganlah bimbang.  Sikit sebanyak saya ada menyimpan.  Lagi pun abang Bakhtiar pun ada beri hantaran separuh.  Kita gunakan saja duit tu dulu.”  Maya  memberikan cadangan.
            “Bukan duit yang mak bimbangkan.  Tapi kamu tu.  Dah bersedia ke belum?  Kalau boleh mak nak tetapkan hari.  Nanti bolehlah mak beritahu dengan Mak Lang kamu.  Mak kalau boleh lagi cepat lagi bagus.  Macam mana dengan cadangan mak?  Kamu setuju tak nak buat majlis bulan lima ni?” Maya senyap.  Bagaikan berat untuk bibirnya berbicara.  Fikirannya jauh melayang menimbang segala yang diluahkan oleh ibuya itu.  Dia tahu, selama ini dia akur dengan segala keputusan orang tuanya.  Entah kenapa, kali ini dia tewas bermain dengan hati.  Kalau nak diikutkan hati mahu saja dia menangguh perkahwinan itu.  Bukan kerana dia tidak mahu tetapi dia masih belum bersedia.  Tambahan lagi dia masih baru saja bekerja.  Duit masih belum cukup lagi untuk dia merealisasikan impian orang tuanya itu.
            “Macam mana dengan fikiran kamu?  Atau kamu nak minta tangguh lagi?” Tanya Mariam sekali lagi membuatkan Maya tersentak.
            “Entahlah mak.”  Mariam mengerut dahi.  Seperti ada sesuatu yang disimpan oleh Maya.  Fikir Mariam.
            “Kenapa pulak?  Kamu jangan kata tak jadi.  Mak Alang kamu beria-ia nak mempercepatkan majlis kamu.  Sudah mak katakan wang bukan alasan.  Mak dan ayah kamu bukan ke ada.  Kami masih mampu nak biaya semua tu.  Apa yang perlu sekarang cuma persetujuan kamu saja.”  Sekali lagi Maya terdiam.  Mencari kunci kepada jawapannya kini.  Ah, apakah yang perlu aku lakukan? Tidak sampai hati untuk melukan hati orang tua.  Patutkah aku menerimanya?  Atau pun bertindak mengikut perasaan? 
            Maya mengeluh.  “Mak macam mana?”
            “La…. budak ni dia tanya aku balik.  Mak rasa dah banyak kali mak beritahu pada Maya.  Mak kalau boleh nak cepat.  Dari tadi mak cakap engkau ni faham ke tidak?”  Maya tersenyum dengan teguran ibunya itu. Dia malu sendiri.
            “Kalau mak dah cakap macam tu apa lagi yang boleh Maya buat?  Maya ikut je.”  Jawapan yang meluncur dari bibir Maya membuatkan Mariam tersenyum puas.  Harapannya untuk menerima menantu kini jelas di ruang matanya.
            “Em…. Baru senang hati mak dengarkan jawapan kamu tu Maya.  Bukan apa, Mak Alang kamu tu nak datang tanya sekali lagi minggu depan.  Bila mak dah bercakap dengan kamu senang mak nak bincang dengan dia.  Sekarang ni bolehlah kita berdikit-dikit untuk majlis kamu tu nanti.”
            “Emak ni, macam tak sabar-sabar pulak.  Orang sebelah tak tetapkan hari lagi, mak dah nak buat itu ini.”
            “Kamu mana tahu, tapi mak rasa mak nak buat cuti sekolah nanti.  Lagi pun abang dan kakak kamu boleh balik awal menolong.”
            “Em… suka hati maklah.  Maya ikut je.”  Maya sudah tidak mahu berbicara lebih lagi.  Dia mematah-matahkan jambu air tadi dan lantas di masukkan ke dalam mulut.
            “Eh, mak nak masuk dulu.  Kalau nak naik nanti bawa sekali baldi tu.”  Pesan Mariam sebelum dia bangkit.  Parang yang  menjadi temannya dicapai.  Dia kemudiannya meninggalkan Maya keseorangan melayani perasaan.
            Maya masih lagi menemani anak ayam yang dari tadi asyik berkeliaran bersama-sama ibunya.  Pada saat ini, segala permulaan perubahan hidupnya menjadi halaman lamunannya.  Dia tidak menyangka kehadiran Bakhtiar pada satu ketika membawa hajat yang selama ini tidak pernah terduga olehnya.  Bakhtiar telah meminang dan ingin menjadikannya sebagai suri hidup.  Dirasakan dia bermimpi disiang hari.  Tidak pernah terduga orang yang selama ini dianggap sebagai seorang saudara memilih dirinya menjadi suri rumah.  Dalam diam, Maya memanjat kesyukuran kepada yang Esa dengan jodoh yang telah diberikan.  Selama ini dia sering saja berendam air mata.  Dia sedar, orang yang berbadan besar kurang menerima perhatian dari seorang lelaki.  Tetapi, Bakhtiar telah mengubah segalanya.  Orang sepertinya boleh bercinta.  Kalau nak diikutkan aku ni bukannya gemuk sangat, tapi cuma berisi.  Comel lote kata orang.  Walau bagaimana pun semenjak di sekolah sehinggalah dia berhenti dan melangkah ke alam pekerjaan dia tidak pernah bercinta.  Kadang kala dia ingin seperti kawan-kawan yang lain.  Seperti Nani, Nisah atau pun Rina.  Mereka lebih dulu merasai nikmat orang bercinta.  Setiap kali melihat pasangan berjalan berdua-duaan, hatinya terusik.  Bilakah masa aku akan menjadi seperti mereka?
            Bakhtiar adalah segalanya.  Dalam diam Maya menyimpan hati kepada Bakhtiar. Setelah disunting oleh Bakhtiar dia menanamkan rasa cinta dan kasih kepada tunangannya itu.  Rasa cinta itu kemudiannya disulamkan dengan rasa sayang yang kini kian mekar.  Walau pun pada satu ketika dia takut untuk menyimpan harapan tetapi apabila cincin tersarung di jari manis memberikan gambaran betapa indahnya ketika diri ini menjadi pilihan hati. 
            Sungguh pun begitu, Maya sering kali bermain dengan teka-teki.  Ah, adakah dia juga berperasaan seperti ku?  Setiap kali bertemu, Maya sering kali melihat kejujuran melalui anak mata Bakhtiar.  Namun gagal.  Setiap kali ianya bertentang, Bakhtiar akan mengubah paling. Pada ketika itu, Maya seperti dipermainkan.   Namun kadang-kala hati ini memujuk juga.  Mungkin malu.  Biasalah, pilihan orang tua.  Malu itu adalah perkara biasa.  Seperti yang bermain di fikiran, Maya juga sering terjebak dengan prasangka. Adakah dia dipaksa? Kerana orang tua dia terpaksa berkorban walau pun tiada rasa kasih sayang dan juga cinta?  Maya kadang-kala bengang dengan situasi yang berlaku kini.  Bakhtiar seorang yang romantik.  Lembut tutur kata.  Ah, bukan macam Encik Hafiz.  Tiba-tiba wajah Hafiz bermain di ruang  mata Maya.  Anak majikannya itu tidak seperti tunangnya.  Jauh panggang dari api.  Kalau berjumpa, ada saja salah orang.  Kalau bertentang mata, ada saja yang digaduhkan.  Dia ingat dia saja yang betul.  Maya tersenyum sendirian apabila terkenangkan wajah Hafiz.

            Maya tersentak apabila terdengarkan azan maghrib berkumandang sayup memecah senja yang kian merangkak.  Anak ayam yang menjadi tontonannya tadi kini sudah tiada.  Mungkin sudah kembali ke reban agaknya.  Maya bangkit.  Baldi merah dibawanya masuk.  Lamunannya kini masih lagi bersisa.  Kali ini bukan kerana Bakhtir, tetapi wajah Hafiz yang paling dibenci menggelikan hatinya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2016 JIAKREATIFELT. All rights reserved. | Sign in|Top of page