Bisikan Cinta : BAB 12

Teratak pena | 9:28 PM |
BAB 12

            Sofiah melabuhkan punggung berhadapan dengan Daniel.  Hatinya tiba-tiba bergelora.  Dia tidak tahu kenapa apabila dia bertentang mata dengan Daniel hatinya mudah bergelora.  Ah, apakah tandanya ini?
            “Kenapa Encik Daniel panggil saya?  Kalau tentang tugasan tu saya sudah pun siapkan.  Cuma tunggu untuk aktiviti esok saja.”  Sofiah terkejut dengan kehadiran majikannya tadi.  Difikirkannya Maya.  Namun wajah Daniel yang menerpa.  Entah apa mimpi, Daniel mengajaknya makan malam.  Ada hal penting katanya.  Sebagai setiausaha dia pelu patuh dengan arahan itu selagi ianya tidak melanggar tatasusila sebagai pekerja.
            “Lepas makan nanti kita bincang.”  Daniel melambai ke arah pelayan yang lengkap memakai seragam.  Dia kemudiannya memesan makanan dan Sofiah yang masih dalam tanda tanya hanya akur dengan keputusan Daniel.  Daniel meletakkan garfu dan sudu di dalam pinggan.  Dia sendawa kecil.  Keyang dirasakan pada saat itu.  Menikmati makan malam bersama Sofiah dirasakan satu detik yang begitu bermakna buat dirinya. 
            “Kita pergi ke pantai sekejap.”  Ajak Daniel.  Sofiah tersentak.  Sudah, apa pulak ni?  sampai ke pantai nak bincangkan hal kerja?  Sofiah agak sangsi dengan majikannya.  Dia takut andai kata ajakkan itu ada muslihat yang tidak dia ketahui.  Maklum sajalah zaman sekarang ni orang yang kita sangka baik kadang-kala musuh dalam selimut.
            “Tak boleh ke kita cakap di sini saja?”  Sofiah cuba mencari alasan.  Dia merasakan satu debaran yang kian kencang.
            “Maaf, Sofiah.  Kalau boleh kita bincangkan di tempat lain.  Di sini ramai sangat.”   Ajak Daniel.  Sofiah bangkit walaupun dia masih lagi dalam keadaan ragu-ragu. 
            Daniel dan Sofiah beriringan menyusur pantai di waktu malam.  Air laut yang menyapa tubuh Sofiah membuatkan dia memeluk tubuh. Sejuk bagaikan menusuk ke tulang hitam. Dia menyalahkan diri kerana tidak memakai baju sejuk.  Daniel merenung ke arah Sofiah.  Dia segera meletakkan baju sejuknya atas bahu Sofiah.  Sofiah tersentak.
            “Saya tahu, Sofiah sejuk.”  Ujar Daniel.  Sofiah tunduk.  Tidak sanggup rasanya untuk dia bertentang mata dengan Daniel ketika ini.  Seperti biasa hatinya bergelora.  Dicuba untuk menepis segala rasa gelodak di jiwa tetapi hampa.  Setiap kali bersama, perasaan itu dengan tiba-tiba menerpa.
            “Maafkan Daniel kalau Daniel menyusakahkan Sofiah.”  Daniel?  Sofiah terkejut dengan bicara yang baru saja dilafazkan oleh Daniel.  Tidak pernah dia mendengar Daniel menggelarkan dirinya dengan nama.
            “Apa ni Encik Daniel?  Saya tak faham.”  Sofiah cuba berlagak selamba walaupun debaran hatinya kian kencang.
            “Saya tahu Sofiah merasa kekok sekarang ini.  Bersama-sama dengan majikan sendiri apa lagi di tempat sebegini.  Tentu Sofiah merasa  tidak senang hati.”  Sofiah mengakui akan kebenaran kata-kata Daniel itu.  Dia merasa kekok sekarang ini.  Hatinya juga tidak tenang seperti di lautan yang terbentang luas.  Sofiah melemparkan pandangan ke pantai.  Dia kaku untuk bersuara.  Sofiah menantikan apa saja yang diperkatakan oleh Daniel. 
            “Kenapa dengan Sofiah ni?  Senyap je dari tadi.”  Daniel cuba menyelongkar hati Sofiah.
            “Tak ada apa-apa Encik Daniel.  Encik Daniel cakap saja. Saya dengar.”  Sofiah sedar ketika ini bukan masanya untuk dia berkata apa.  Dia akan cuba menyelami apa yang tersimpan di hati majikannya.
            “Cuba Sofiah tengok lautan di sana.  Betapa setianya mendamparkan diri di pantai.  Setianya pantai dan laut tidak boleh dipisahkan.  Saya ingin sekali menjadikan panduan kasih sayang saya kepada ibarat laut dan pantai.”
            “Tapi, sesekali lautan yang tenang akan pasti melalui ombak yang ganas. Begitu juga dengan pantai.  Sekali air bah, sekali pantai akan berubah.”
            “Yang berubah hanya pada fizikalnya, Sofiah.  Memang adat hukum alam.  Itu memang kita tidak boleh menafikan.  Ibarat hidup kita juga.  Ada kala kita berada di dalam kegembiraan dan ada kalanya kita akan disalut kelukaan.  Tapi, walau bagai manapun pantai dan laut tidak pernah terpisah walau pun apa yang terjadi. Begitu juga dengan lumrah hidup dalam bercinta.  Saya mahu mencari cinta seperti laut dan pantai. Seiring bersama walau apa yang berlaku.  Tapi, ah! Entahlah.  Mungkin pada Sofiah adalah cerita yang amat membosankan.  Sebab itu saya berat hati untuk membicarakan hal yang saya rasa tidak pernah masuk dek akal.” Lembuat saja kata-kata yang diucapkan oleh Daniel membuatkan Sofiah merasa tenang mendengarkannya.
            “Tidak salah untuk meluahkan, Encik Daniel.  Saya tahu, Encik Daniel ingin jadikan pantai dan laut sebagai lambang dalam percintaan Encik Daniel.  Tapi, kita tidak boleh lupa dengan karang dan ikan yang berada di perutnya.  Begitu juga dengan pohon dan jeti yang menjadi perhiasannya.  Kalau hanya laut dan pantai tanpa semua itu, hidup tidak akan menjadi menarik.  Begitu juga dengan cinta.  Cinta mesti bersulam dengan kasih dan sayang.  Ini semua mestilah seiring agar kemudi kehidupan yang kita layarkan akan bertambah bermakna.”
            “Pandainya Sofiah.”  Sofiah tunduk malu.  Dia tersipu-sipu dengan pujian yang dilemparkan oleh Daniel sebentar tadi.
            “Tapi itu semua tidak akan menjadi kenyataan sekiranya lautan bersendirian dan kasih sayang yang cuba dicipta hanya sebagai mimpi apabila yang dinanti tidak pernah menyatakan hasrat hatinya.”
            “Apa maksud Encik Daniel?  Saya memang tak faham.  Kenapa?  Encik Daniel sudah dikecewakan atau pun takut untuk menyatakan hasrat hati?  Kalau dikecewakan, susahlah saya nak tolong.  Kalau susah nak menyatakan hasrat hati bolehlah saya bantu.  Saya ini pun bukannya pandai sangat. Kenapa?  Ada sesiapa yang berkenan di hati?  Boleh saya tahu siapa dia?”  Sofiah mula berani untuk bersuara.  Dia tahu majikkkannya perlukan bantuan.  Dia sebagai seorang pekerja bawahan cuba untuk selesaikannya.
            “Maya.”  Sofiah terkejut.  Ah, adakah Daniel menyukai dan menyintai Maya?
            “Tapi… dia sudah ada yang punya.  Berdosa kalau kita menyeksa pantai dengan lautan yang bergelora.  Kelak pantai akan pasti merana.  Biarlah ianya beralun dengan perlahan agar tidak memberikan kesan yang mendalam walaupun hati bagaikan disayat pilu.”  Daniel tergelak.  Sofiah tercenggang.  Ah, permainan apakah yang ingin dimainkan oleh Daniel?
            “Saya tak katakan yang saya sukakan Maya atau menyintai dia.  Saya masih sedar, Sofiah. Dia sudah menjadi milik orang.”
            “Kalau begitu, apakah yang membuatkan Encik Daniel resah begini?”
            “Kerana Maya, saya bertemu dengan pantai.  Kerana Maya, saya mula membuka mata.  Mengenali cinta dan mendalami rasa kasih dan sayang.”  Sofiah memandang ke arah Daniel.  Dia begitu tidak mengerti dengan penjelasan Daniel.  Daniel menggenggam erat tangan Sofiah.  Sofiah tersentak.  Dia tidak sangka dengan tindakan Daniel.  Namun begitu, dia tidak dapat mengelak rasa debaran yang kian kencang. 
            “Saya sebenarnya takut untuk berterus-terang. Saya takut kalau saya sampaikan hasrat di hati, dia tidak sudi.  Bukankah malu nanti.  Mana saya nak sorokkan muka saya ni?”
            “Tidak salah mencuba Encik Daniel.”  Daniel senyap.  Dia cuba mengumpul kata-kata.  Sofiah senyap menantikan butir-butir bicara Daniel.  Hatinya kini tidak tenang.  Dia dapat merasai seperti ada sesuatu yang ingin diperkatakan oleh Daniel.  Daniel memandang ke arah Sofiah.  Dia sedaya upaya untuk memberitahu perkara yang sebenar kepada Sofiah. 
            “Encik Daniel seperti ada sesuatu yang hendak disampaikan.”  Akhirnya Sofiah mengalah dengan tindakan Daniel yang seriba bahasa itu.
            “Er… saya tahu, saya masih baru lagi di syarikat.  Tapi tak salahkan kalau kita mengenali antara satu sama lain?”
            “Tak salah Encik Daniel.  O…. ini dia susah sangat nak cakap.  Bukankah kita sudah mengenali antara satu sama lain.”  Sofiah tergelak kecil.
            “Maksud saya mengenali lebih dari seorang majikan.  Seorang kekasih kepada kekasih. Itu yang saya maksudkan.  Saya minta maaf kalau saya ini terburu-buru.  Tapi saya takut. Takut apa yang saya harapkan akan terlepas ke tangan orang lain.  Terus-terang saya ingin katakan pada Sofiah yang saya sudah mula jatuh hati dengan Sofiah.  Kalau boleh saya nak mengenali Sofiah lebih dari seorang kawan atau majikan.”  Ucap Daniel jujur.  Sofiah merenung ke arah anak mata Daniel.  Namun tidak lama.  Dia terleka dengan renungan manja Daniel.
            “Bukan saya tak sudi, Encik Daniel.  Tapi, kita mesti fikirkan darjat dan pangkat.  Saya ibarat pipit, Encik Daniel ibarat enggang.  Saya bagaikan bumi, tapi Encik Daniel bagaikan langit.  Kita tak sama, Encik Daniel.  Saya tak mahu apa kata orang tua Encik Daniel nanti.”  Daniel tersenyum. 
            “Rupanya Sofiah masih belum kenal saya dan keluarga saya lagi.  Sungguh pun saya dan keluarga adalah dalam kalangan orang yang berada, tapi kami tidak pernah lupa dengan adat serta tempat lahirnya kami.  Kami semua anak desa.  Saya juga dilahirkan di desa.  Bermain di bendang, mandi di sungai.  Namun  itu bukan masalah kami untuk berjaya.  Walau pun ayah saya seorang anak desa, tetapi dia mempunyai semangat juang yang tinggi.  Walau pun sudah mendapat pengkat sebagai Dato’, namun dia tidak pernah lupa menjenguk datuk kami di kampung.  Hati kami tetap di desa.  Setiap pada hari raya kampung juga tempat kunjungan pertama kami.  Cuma di sini, kehidupan kami berbeza.  Saya tahu, terlalu awal buat Sofiah.  Namun Daniel tidak memaksa untuk terima Daniel.  Sofiah fikirkan dulu.  Walau bagai mana pun Daniel tetap menantikan Sofiah.” Sofiah senyap.  Dia tidak tahu apakah jawapan yang sewajarnya yang harus diberikan kepada Daniel.
            “Berilah Sofiah masa, Encik Daniel.  Saya takut antara kita akan terluka.”
            “Biarlah terluka sekarang jangan sudah menyimpan perasaan tetapi tidak kesampaian itu sudah menjadi satu kedukaan yang akan memberikan kesan yang mendalam.  Tak mengapalah.  Kalau itu yang Sofiah pinta.  Tetapi… apa yang Daniel harapkan adalah jawapan yang baik dari Sofiah.”  Genggaman Daniel semakin erat.  Pada saat ini, Sofiah sudah dapat merasakan bunga-bunga jawapan kepada persoalan Daniel.
            Sofiah kembali ke bilik apabila jam tangannya sudah mencecah ke angka 12.00 tengahmalam.  Dengan perlahan Sofiah membuka pintu biliknya.  Tidak mahu dia mengejutkan Maya yang mungkin sudah tidur.  Namun, itu semua andaiannya saja. Maya sedang menantinya.
            “Hah, baru sekarang kau balik. Mana kau pergi?  Puas aku tunggu kau.”  Sofiah serba-salah dengan pertanyaan Maya itu. Ah, perlukah aku memberitahu hal yang sebenarnya?
            “Aku pergi makan sekejap.”  Jawab Sofiah yang tidak pasti bahawa jawapan itu akan mempercayakan Maya.
            “Hai, sudah 12.00 tengahmalam baru kau nak makan. Kau makan nasi ke atau kau makan angin.  Aku tak percayalah.  Baik kau beritahu dengan aku.  Kau pergi mana.  Kalau kau tak beritahu aku, tak apa.  Akan tahu juga.  Kau bukan tak tahu, aku kalau nak tahu cerita-cerita sensasi aku akan mendapatkannya walau apa yang terjadi.  Aku tahu apa yang terjadi dengan kau.  Kau jangan nak merahsiakan dari aku. Aku tahu kau berjumpa dengan siapa. Walau bagai mana pun aku akan tetap tahu dari mulut kau sendiri satu hari nanti.  Tapi apa yang aku tahu sudah tentu kau berjumpa dengan Encik Daniel.  Kalau tidak macam mana baju sejuk dia ada pada kau?”  Sekap Maya.
            “Sudahlah Maya.  Kau jangan banyak sangat membebel. Aku malas nak dengar. Dahlah, aku nak tidur.  Nanti kau tolong padamkan lampu.  Okey, selamat malam.  Aku tidur dulu.”  Sofiah sudah pun menarik selimut.  Tak kuasa dia mendengarkan leteran Maya pada malam-malam begini. 
            “Sofiah, dengarlah cakap aku ni.  Sofiah!” Maya mengoncangkan badan Sofiah.  Sofiah membatu.  Maya mengalah.  Mulutnya tidak berhenti.  Masih lagi membebel.

            “Tak apa, kalau kau tak nak cakap dengan aku aku tak kisah.  Tapi kau akan beritahu juga dengan aku.”  Maya mengalah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page