Cerpen: Kita Couple Nak

Teratak pena | 8:29 PM |

Kita couple nak
            Alisya memandang kepada Rafiq dengan satu perasaan yang sukar digambarkan.  Sedih, sayu, kecewa semuanya menjadi satu resepi.  Macam resepi masak lemak cili api.  Kalau makan memang tangap nangis.  Sedangkan Rafiq?  Rafiq hanya menyambut pandangan mata Alisya tanpa rasa bersalah.  Hati Alisya meronta.  Ah, mengapakah ini yang harus terjadi?  Mengapa perpisahan yang menjadi penghulu kepada segala jawapan?  Air mata Alisya sedikit pun tidak memberi kesan kepada Rafiq.  Betapa sedih hati Alisya dengan Rafiq ketika itu. 
            “Tolonglah Rafiq, jangan buat Alisya macam ni.  Rafiq kan tahu yang Alisya sayangkan Rafiq.”  Perlahan sahaja nada Alisya ketika itu.  Air matanya masih lagi mengalir. 
            “Sayang?  Cukuplah Alisya.  Aku tak pernah anggap kau istimewa dalam hidup aku.  Hanya kau sahaja yang perasaan macam tu.”   Sambut Rafiq dengan penuh bangga.
            “Rafiq, aku ada buat salah dengan kau ke?  kalau aku ada buat salah dengan kau aku minta maaf.”
            “Maaf?  Ye, kau memang ada salah.  Kau bersalah sebab menyintai aku.  Sedangkan aku?  Terus-terang aku katakan yang aku tak pernah simpan perasaan terhadap kau.”  Tersentak Alisya mendengarkan pengakuan Rafiq itu. 
            “Jadi selama ini?”
            “Hanya kau saja yang anggap aku istimewa.  Sudahlah Alisya, jangan kau nak bermimpi.  Sampai bila-bila aku tak akan menyintai kau.  Cuma kau sahaja yang bertepuk sebelah tangan.”
            Alisya diam tanpa suara.  Begitu juga dengan Rafiq.  Suasana petang itu begitu memberi kesan kepada Alisya.  Alisya kemudiannya menyalahkan dirinya sendiri kerana begitu mudah menyerahkan hati kepada insan yang selama ini tidak pernah menyintainya.  Rafiq meninggalkan Alisya sendirian melayani perasaan.  Betapa perit hati Alisya saat Rafiq berlalu pergi.  Air matanya kini merembes laju menghiasi wajahnya.
            Mulai saat itu, hubunngan Alisya dan Rafiq bagaikan orang luar.  Di tempat kerja, mereka tidak seperti dulu.  Namun Alisya cuba untuk tidak mengeruhkan hubungan.  Memang hatinya sakit dan perit.  Namun dia perlu untuk teruskan hidup.  Dia tidak mahu kerana seorang lelaki dia jatuh tersungkur.  Walau bagaimanapun Rafiq begitu dingin dengannya.  Dia sendiri tidak tahu mengapa Rafiq begitu tidak menyenangi dirinya.  Hina sangatkah diri ini?  Keluh Alisya sendirian.
            “Alisya, kau tak ada apa-apa ke?” Alisya terkejut bila Sabrina menegurnya dari belakang.
            “Wei, kau.  terkejut aku tau.” 
            “Taklah, aku tengok kau bukan main termenung panjang dari tadi.  Kau ni pun… tak payah nak kenangkan sangat mamat poyo tu.  Dia bukannya nakkan kau.”  Alisya memandang kepada Sabrina.
            “Kau ni memang tak sayang mulut kan.” 
            “Hish!  Betul apa yang aku cakap.”
            “Apa kurangnya aku?  Sampai hati dia buat aku macam ni.”  Keluh Alisya.
            “Hati.  Kita tak boleh nak paksa orang terima hati kita, Alisya.”
            Hati!  Ya, dia kalah dengan itu.
            “Tapi dia buat aku macam orang asing.”
            “Kau ni, fikirkan banyak sangat.  Apa yang kau dapat kalau berbaik dengan kau? sedangkan dia tak suka dengan kau.”
            “Tak salah kan kalau aku nak berkawan dengan dia.”
            “Mungkin kau anggap dia sebagai seorang kawan.  Sedangkan dia? Dah tentu dia tak nak.  Lagi pula kau dah luahkan perasaan kau pada dia. Lagi pun dia tak nak kau simpan perasaan terhadap dia.” 
            “Bukan ke dia dah beritahu dengan aku yang dia tak ada perasaan pada aku.  Mula-mula aku sedih, Sabrina.  Tapi sekarang aku sudah boleh terima.”  Luah Alisya. 
            Kali ini Sabrina pula yang mengeluh.
            “Buat masa ni baik kau elak jumpa dengan dia.  Macamlah tak ada lelaki lain yang nak kau takle.  Ha, apa kata kau couple dengan Khalis. “  Terbuntang mata Alisya mendengarkan nama Khalis.
            “Khalis?  Kau ni pun agak-agaklah.  Dia kan minat dengan kau.”
            “Tapi aku tak suka dengan dialah.  Dia tu bukan taste aku tau.  Mamat senget tu?  Aku tengok dia pun aku nak termuntah tau.  Bermisai, berjambang dah pulak tu rambut panjang? E….. tolonglah.  Berselirat je aku tengok.  Perempuan mana yang nak dekat dengan dia.”  Komen Sabrina dengan penuh lagak.
            “Tak baik tau kau cakap macam tu.  Kalaulah dia tahu tentu kecik hati dia.  Dia tu baik tau.”
            “Saya dah dengar.”  Alisya dan Sabrina terkejut. Pantas kepala mereka berpaling.  Wajah Khalis serta-merta jelas di ruang mata mereka.
            Khalis kemudiannya masuk ke dalam cubicle Alisya dan wajah Sabrina segera ditatap.
            “Alisya, kita couple.”  Terbuntang mata Alisya apabila mendengarkan pengakuan berani mati Khalis itu.  Mamat ni dah kenapa?  Buang tabiat ke apa?  Sesuka hati je ajak orang couple.
            “Yes!” Sabrina melompat gembira. 
            “Sabrina!”
            “Orang dah nak, terima jelah Alisya.  Lagi pun kau kan tengah single.”
            “Wei, dia kan suka dengan kau.  Takkan nak couple dengan aku pulak.”
            “Ala…. Kau janganlah nak malu.  Aku tak nak mamat ni.  Kau ambil jelah.”  Amboi, sesedap mulut je cakap macam lah si Khalis tu tak ada perasaan.
            “Janganlah Sabrina.”
            “Mula-mula malu, lama-lama okey lah tu.”
            “Tapi…” Alisya memandang kepada Khalis.  Khalis tersenyum memandang ke arahnya sambil mengeyitkan matanya.  Pulak!  Alisya tahu, Khalis seorang yang baik.  Puas juga Khalis mengorat Sabrina.  Bermacam-macam dia buat untuk Sabrina.  Setiap hari Khalis memberi Sabrina bunga dan coklat, namun Sabrina menyimpannya di dalam tong sampah.  Setiap hari juga Khalis mempelawa untuk menghantar pulang rumah namun Sabrina menolaknya mentah-mentah. 
            “Good Luck Alisya.”  Terkebil-kebil Alisya memandang kepada Sabrina yang sudah meninggalkannya.  Dia ni biar betul.  Tinggalkan macam tu je?
            Alisya menikus menyambung kerjanya tanpa memandang kepada Khalis yang dari tadi memerhatikannya.  Alisya memandang Khalis dengan ekoran matanya.  Tak sanggup dia bertentang mata dengan Khalis.
            “Kau malu ke?” Tegur Khalis.
            Terus pandangan mata Alisya kepada Khalis. 
            “Malu?  Malu sebab apa?”
            “Malu nak kawan dengan aku.”
            “Siapa kata?  Aku tak kisah nak kawan dengan siapa pun.”
            “Semua orang tak nak kawan dengan aku sebab aku macam ni kan?”
            “Eh, mana ada.  Kau je yang fikir yang bukan-bukan.”
            “Ala… kau pun sama kan.  Kalau ada Rafiq tu, aku pun kau tak pandang.” 
            Bila Khalis menyebut nama Rafiq serta-merta perasaan kecewa dan sedihnya bertandang.  Hai, Khalis… kenapalah kau sebutkan nama  mamat tu.  Buat panas hati je.
            “Dahlah, malas aku nak layan dia.  Kau nak apa sebenarnya Khalis?” 
            Khalis tersenggeh.
            “Kan aku dah kata tadi yang aku nak couple dengan kau.  Itu pun kalau kau nak. Aku dah penatlah nak tunggu Sabrina tu.  Bukannya dia nak layan aku.”
            “Sesedap mulut je kau cakap.  Aku tahu kau suka dengan Sabrina.  Kau jangan main-main Khalis.”
            “Ala… setakat suka je.  Macam mana?”
            Hish!  Boleh percaya ke mamat ni?  entah-entah saja nak bagi panas hati Sabrina kot?  Tapi, terang-terang tadi Sabrina tak nak berkawan dengan Khalis. 
            “Untuk permulaan, tengahari kita makan sama.  Aku belanja.”  Ajak Khalis.
            “Kau biar betul.” 
            “Betul, tapi aku tengahari cari nasi.”
            “Boleh…”
            “Bukan ke kau diet?”
            “Diet?  Taklah, aku memang cari nasi.  Nak kalau kena dengan tekak aku.  Pekena masak lemak, ikan goreng…”
            “Sambal belacan!  Kau ni buat aku laparlah Alisya.” 
            Alisya ketawa.  Ini adalah kali pertama dia berbual dengan Khalis semenjak dia bekerja di syarikat itu semenjak setahun lalu.  Lagi pun mungkin sebelum ini Khalis tidak berani menghampirinya kerana ada Rafiq.  Disebalik jambang itu Alisya dapat melihat senyuman manis yang dilemparkan untuknya.
            Tengahari itu Alisya dan Khalis menikmati makan tengahari bersama-sama.  Pada mulanya Alisya merasa kekok saat bersama-sama dengan Khalis.  Namun lama-kelamaan, dia mula serasi dengan lelaki itu.
            “Alisya,  er…. Kalau aku cakap dengan kau jangan marah ye.”  Alisya mendongakkan kepala memandang kepada Khalis.  Alisya tahu apa yang bakal dikatakan oleh Khalis.  Mesti Khalis ingin masuk jarum mengorat Sabrina. 
            “Aku tahu, mesti pasal Sabrina kan?”
            Khalis senyum.
            “Kau ni macam tahu je apa yang aku nak cakap.  Itulah, aku minta maaf kalau aku pasang harapan pada kau.”
            “Aku tahu, kau saja kan nak kenakan Sabrina tadi.” Khalis ketawa. 
            “Itulah, perempuan tu memang tak makan saman langsung.  Dia buat tak tahu je tadi. Alisya, apa kata kau jadi penasihat aku.”
            “Aku bukannya pandai sangat bab-bab ni.  Kau pun tengok aku macam mana.  Awal-awal aku dah kena reject.”
            “Ala… lelaki tu kasanova.  Tak payahlah kau nak fikirkan sangat pasal lelaki tu.” 
            Alisya tersenyum kelat.  Dia terasa dengan kata-kata Khalis itu tadi. 
            “Untung Sabrina dapat kau.”
            “Kau jangan risau.  Aku yakin satu hari nanti kau akan dapat lelaki yang lebih baik dari Rafiq tu.” Khalis cuba memujuk.  Rasa bersalah mula bertandang di dalam hatinya.  Bagaikan dia cuba untuk mempermainkan gadis itu. 
            “Kau jangan nak pujuk aku sangat, Khalis.  Aku sedar siapa aku.”
            “Ah, kau ni.  Sentaplah pulak.  Cubalah kau fikirkan cara positif.  Tak apa, oleh sebab kau sedih dengan aku apa kata aku belanja kau tengok wayang hujung minggu ni.”  Tengok wayang?  Wah, macam best je.
            “Kita tengok Captain America nak?”  Bagaikan ada nada gembira di situ.
            “Cantik!”  Sahut Khalis gembira.
            Pertemuan hujung minggu antara Alisya dan Khalis benar-benar membuatkan hati mereka gembira.  Khalis juga seronok berbual dengan Alisya sehingga hilang segala angan dia untuk bertanyakan tentang Sabrina.  Namun begitu, Alisya terlebih dahulu bertanyakan tentang hubungan Khalis dan Sabrina.
            “Khalis, kalau betul kau nak pikat hati Sabrina tu kau kena ubah penampilan kau dulu.  Gaji kau banyak kot.  Apa kata kau spend sikit gaji kau untuk diri sendiri.”  Ujar Alisya jujur ketika mereka sedang berjalan beriringan antara deretan kedai di KLCC.
            Belum sempat Khalis berkata apa, tangan milik Alisya ditarik.  Terkejut Alisya dengan tindakan Khalis itu.
            “Woi, kau dah kenapa tarik tangan aku?  Lepaslah!  Mana boleh pegang.”  Terus melompat Khalis melepaskan tangan Alisya.
            “Sorry,  tindakan luar kawalan sekejap.”
            “Banyaklah kau tindakan luar kawalan.  Lagi sekali kau buat, penumbuk sulung aku bagi kat kau.  kalau nak merasa silalah.” 
            “Mak ai!  Boleh tahan garang juga kau ni ye.  Aku bukan apa, tu….”  Tunding Khalis mendorong Alisya memandang.  Terbuntang mata Alisya memang kepada Sabrina yang sedang berjalan beriringan sambil memaut mesra lengan…. Rafiq?
            Serta-merta terngiang-ngiang dengan kata-kata Sabrina terhadap Rafiq.  Patutah beria-ia suruh lupakan Rafiq.  Barulah sekarang dia tahu kenapa.  Alisya memandang kepada Khalis.  Ternyata Khalis kelihatan sangat kecewa. 
            “Sabar, Khalis.”  Khalis berlalu saat kelibat pasangan itu hilang dari pandangan matanya.  Alisya segera mengejar Khalis dari belakang.
            “Khalis!”
            Khalis terhenti.
            “Kita declare! Kita couple.  Ini bukan olok-olok.  Ini betul-betul.”
            “Jangan nak ikutkan perasaan, Khalis.  Kau suka dengan dia kan?  Rampas balik cinta kau tu.”
            Khalis memandang kepada Alisya.  Dada Khalis berombak.  Turun naik nafasnya saat itu.
            “Rampas balik cinta aku?  Macam mana dengan cinta kau Alisya?  Kau tahu tak kedua-dua makhluk tu dah mainkan kita.”
            “Aku tahu, Khalis.” 
            “Kita declare.”
            “Kau gila ke apa?  Jangan buat perkara bodoh, Khalis.  Cuba jangan bertindak terburu-buru.” 
            “Aku serius ni.” 
            Alisya berlalu meninggalkan Khalis di dalam keadaan terpinga-pinga.  Tak faham betul Alisya dengan mamat bernama Khalis itu.  Suka hati je nak declare bercinta.  Dia ingat cinta ni perkara main-main agaknya.  Alisya tahu, Khalis bertindak begitu kerana mahu menyakitkan hati Sabrina. 
            “Alisya!”  Kali ini Khalis pula yang mengejar.
            “Alisya, kau tolonglah aku.”
            “Kenapa pulak aku? Kau carilah orang lain.”
            “Aku tahu kau boleh tolong aku.”
            “Kalau aku tak nak?”
            “Aku tahu nak buat apa.  Nanti kau jatuh cinta dengan aku, itu aku tak jamin.” Usik Khalis.
            “Hish!  Kau memang dah angau! Malaslah aku nak layan mamat tiga suka macam kau ni.”  Sekali lagi Alisya berlalu meninggalkan Khalis.  Khalis tersenyum.  Dia menghela nafas perlahan.  Alahai, comel le pulak tengok budak Alisya ni. 
            Alisya masuk ke  dalam pejabat dengan hati yang riang.  Hilang semua apa yang telah terjadi semalam.  Namun sampai sahaja di meja, betapa dia terkejut dengan kehadiran sejambak bunga mawar dan diringi dengan sekotak coklat.  Bulat mata Alisya dengan hadiah yang memenuhi ruang mejanya. 
            “Amboi kau Alisya, semenjak kau pisah dengan Rafiq banyak hadiah kau dapat.”  Ujar Sabrina yang tiba-tiba muncul.  Alisya memandang kepada Sabrina sambil mulutmya menganga. Sumpah dia tak tahu apa yang dah terjadi.
            “Aku tak tahu siapa yang bagi.” 
            “Hai, mustahil kau tak tahu.  Bak sini aku tengok.”  Sabrina mencapai kad yang terselit di dalam jambangan bunga itu.
            “Khalis!?” Jerit Sabrina tidak percaya.  Pantas tangan Alisya merampas kad dari Sabrina.
            “Wow! Unexpected.”
            “Tak baik tau baca kad orang.”
            Alisya tersenyum bila memandang bunga di atas meja.  Khalis…. Khalis… beria-ia kau nak kenakan Sabrina.
            “Alisya….”  Alisya dan Sabrina berpaling.  Wajah Khalis pula menyapa ruang mata mereka.  Sekali lagi Alisya terkedu bila Khalis membawa sekuntum mawar merah di tangan.
            “Sejambak bunga yang ada tidak sama dengan sekuntum bunga yang ada di tangan saya.”
            Khalis tersenyum.
            “Dan sekuntum bunga di tangan saya adalah yang paling istimewa.  Ianya khas untuk awak, Alisya.”  Khalis menyerahkan bunga mawar merah kepada Alisya.  Alisya menyambut pemberia Khalis walau pun hatinya penuh dengan debaran yang amat sangat. 
            “Untuk saya?”
            “Hai, untuk Alisya lah. Habis tu siapa lagi?  Awak kan buah hati saya.  Takkan saya nak bagi kat orang lain pulak?”  Perlahan sahaja suara Khalis ketika itu membuatkan hati Alisya sudah tidak tenang.  Mamat ni agak-agaklah.  Over sangat romantiknya.  Naik seram satu badan dengan perubahan Khalis itu. 
            Alisya memandang kepada Sabrina.  Dia cuba untuk melihat reaksi Sabrina.  Ternyata wajah Sabrina muram ketika itu.  Marahkah dia?  Tapi sebelum ini pun Khalis selalu juga memberinya bunga dan coklat, tetapi Sabrina tidak pernah terima pemberian Khalis sebaliknya Sabrina terus membuangkanya di dalam tong sampah. 
            “Balik kerja saya hantar awak balik.  Saya dah beritahu dengan keluarga awak yang saya nak hantar awak balik.” 
            Terbuntang mata Alisya mendengarkannya.  Hah?  Macam tu sekali?  Nak diikutkan hati, mahu sahaja dia baling semula jambangan bunga kepada Khalis.  Namun bila mengenangkan Khalis dah banyak melaburkan duit, tak jadilah pulak.  Tapi…. Kalau dah melibatkan keluarga memang dah melampau.
            Namun bukan Alisya sahaja yang terkejut, malah begitu juga dengan Sabrina.  Khalis tersenyum sinis.  Kembang hatinya bila dapat mengenakan Sabrina.
            “Sorrylah beb.  Aku gerak dulu.  Tak nak kacau korang.  By the way, cantik bunga tu.”  Ujar Sabrina yang berlalu dari situ.  Ternyata wajahnya berubah masam.
            “Khalis,  awak ni pun agak-agaklah nak kenakan dia.  Kau tengok dia dah merajuk.”  Ujar Alisya sambil matanya meliar takut Sabrina masih ada di situ. 
            “Ada saya kisah?  Sebelum ni bukan saya tak pernah berikan dia bunga.  Awak pun tahu kan mana dia buang semua tu.  Dalam tong sampah.  Awak ingat saya tak sakit hati ke bila dia buat macam tu?”  Alisya diam.  Memang sebelum ini setiap kali Khalis memberi bunga dan coklat, Sabrina akan membuangnya ke dalam tong sampah.  Saat itu, Alisya dapat melihat betapa kecewanya Khalis. 
            “Maaf,”
            “Dahlah, tak payah nak minta maaf.  Awak tak ada salah apa-apa, Alisya.  Awak sudi terima bunga tu dah cukup buat saya gembira.  Tapi saya tak tipu tau.  Saya dah minta izin dengan keluarga awak yang saya akan hantar awak balik nanti.”  Khalis memandang kepada Alisya.  Alisya sudah tidak senang dengan pandangan mata Khalis yang membuatkan dia malu untuk bertentang mata.  Khalis senyum.  Geram dia dengan Alisya yang buat muka blur.
            “Tak payah susah-susahlah Khalis. Saya boleh balik sendiri.”  Tolak Alisya.
            “Memang tak ada susahnya.  Memang niat saya nak hantar awak balik.”  Ujar Khalis.
            “Ke awak saja nak bagi Sabrina tu naik angin?”
            “Itu pun salah satu sebab juga.  Tapi dari riak muka dia tadi saya tahu yang dia bengang dengan saya.”  Alisya senyum.  Memang benar apa yang dikatakan oleh Khalis itu.  Masam mencuka wajah Sabrina tadi bila Khalis sanggup menghantarnya pulang. 
            “Jadi tak?”  Tanya Khalis.  Alisya mengangguk tanda setuju.
            “Yes!  Nanti balik kita singgah makan dulu.” 
            “Eh, tak payahlah.  Awak nak hantar saya balik pun dah kira cukup baik.”
            “Kenapa?  Tak sudi ke?”
            “Bukan tak sudi, tapi tak nak menyusahkan awak.” 
            “Sayang juga ye awak dengan saya.”
            Alisya mencebik.  “Tak ada maknanya.”
            Khalis ketawa gembira.  Senang hatinya bila Alisya sudi menerima pelawaannya.
            Petang itu, seperti yang dijanjikan  Khalis menghantar Alisya pulang ke rumah.  Pucat muka Khalis bila Alisya mengajaknya masuk ke rumah untuk bertemu dengan keluarganya.
            “Hish!  Tak naklah saya.”
            “Nak malu apa?  Awak sendiri yang telefon keluarga saya dan sekarang ni keluarga saya nak sangat jumpa dengan awak.  Itulah awak.  Gatal sangat telefon keluarga saya siapa suruh.” Alisya tersenyum apabila melihatkan wajah Khalis yang sudah pun seperti ayam berak kapur.  Ha, tahu kau takut.
            “Kalau saya tahu jadi macam ni, tak adalah saya telefon keluarga awak.  Aduh!  Macam mana ni?  Kalau tak jumpa tak boleh ke?”  Alisya ketawa. 
            “Nak atau tidak, awak kena berjumpa dengan mereka.” Ujar Alisya.
            “Hish!  Gementar rasa hati ni.  Macam nak jumpa dengan bakal pak mertua pulak.”  Makin galak Alisya ketawa.
            “Dah, jom.  Awak jangan nak lari pulak.”  Ingat Alisya.
            Khalis membuka pintu kereta dengan perasaan yang amat berat sekali.  Tangannya mula sejuk beku.  Perasaan takut terus menerjah di dalam hatinya.  Menyesal pula dia menelefon keluarga Alisya tadi.  Menyesal!  Menyesal!
            Khalis melangkah masuk ke dalam rumah milik keluarga Alisya dengan langkah yang amat perlahan.  Peluh jantan sudah pun singgah di wajahnya. Jelas kedua-dua orang tua Alisya sedang menunggu kehadiran mereka.  Khalis menelan air liur yang tersekat di anak tekaknya.  Persepsi pertama?  Wajah bengis ayah Alisya membuatkan Khalis pucat dan mati kata.  Nampak macam garang je.  Khalis memandang ke arah pintu rumah.  Takkan nak keluar balik kot?
            “Abah, umi ini Alisya kenalkan Khalis.”  Khalis kemudiannnya mendapatkan Encik Kamarul dan bersalaman dengan lelaki itu.
            “O….. inilah lelaki yang berani telefon ayah minta izin hantar kamu balik?” Dak duk dak duk debaran hati Khalis tidak boleh diceritakan lagi.
            Khalis memandang kepada Encik Kamarul yang mukanya bagaikan singa nak menerkam mangsanya.  Bohonglah kalau dia tidak takut.  Ini silap hari bulan mahu dia terkencing di situ.
            “Maafkan saya, pakcik.” Bergetar suara Khalis ketika itu.
            “Apa maaf?”
            Air liur Khalis tersekat dikerongkong.
            “Maaa… maa…” Aduh!  Gagaplah pulak.  Alisya yang memandang cuma tersenyum.  Habislah kau Khalis.
            “Ma…ma…. Awak tahu tak?”  Khalis menggeleng pantas.
            “Awaklah orang pertama yang berani telefon saya untuk hantar dia balik rumah.”  Kepala lutut Khalis bergetar.  Dia tunduk tidak memandang kepada Encik Kamarul.  Kelibat Alisya juga tidak dicari.  Nampaknya terkontang-kantinglah dia seorang menghadap Encik Kamrul di ruang tamu itu.
            “Abang…..”  Puan Aisyah menepuk lembut bahu suaminya.
            “Apa lagi yang tercegat tu?  Duduklah.”  Khalis akur.  Terus dia duduk bila mendengarkan arahan Encik Kamarul itu.
            Saat itu Khalis mendengarkan suara Encik Kamarul yang galak ketawa.  Tak faham!  Pulak dah,  kenapa ketawa pulak?  Seram satu badan bila melihatkan ayah Alisya yang sudah gelak besar itu.
            “Nampak sangat takutnya, Aisyah.”  Khalis menghela nafas lega.  Hish!  Pandai betul ayah si Alisya ni buat lawak.  Kalau ada pelakon terbaik, memang boleh menanglah kalau macam ni.
            “Tak sangka Khalis berani minta izin dengan kami nak hantar Alisya.  Kami puji keberanian Khalis itu.”  Ujar Encik Kamarul dengan nada yang perlahan.  Khalis menyambut dengan sebuah senyuman.  Kalaulah dia tahu aku pernah tengok wayang sama dah sah mati aku dikerjakan.
            Khalis sempat memandang kepada Alisya.  Alisya sudah senyum menahan tawa.  Amboi, nak gelaklah tu.  Geram pula Khalis apabila melihatkan Alisya yang tersenyum sinis memandang kepadanya.
            “Dah alang-alang datang rumah ni, jemputlah makan malam sini.”  Kali ini Puan Aisyah pula yang bersuara.
            “Eh, tak apa makcik.  Saya ni cuma hantar Alisya je.  Makan saya tak nak.”  Khalis menggeleng laju.  Kali ini meledak tawa Alisya.  Nampak sangat takutnya.
            “Rezeki jangan ditolak.  Dah rezeki Khalis.”  Ujar Puan Aisyah.
            “Yelah makcik kalau makcik dah cakap macam tu.”
            “Tapi sebelum tu kita Jemaah maghrib sama-sama.  Khalis jadi imam boleh?”  Gulp!  Serta-merta tersirap darah Khalis mendengarkannya.  Begitu juga dengan Alisya.  Terus mati tawanya.  Alamak! Mati aku!  Encik Kamarul sudah tersenyum. 
            Khalis mengambil tempat dihadapan sekali.  Debarannya memuncak.  Bukan dia tidak pernah menjadi imam, tetapi makmumnya sudah cukup membuatkan dia gementar.  Entah mengapa debarannya berganda-ganda.  Tak pasal-pasal semua tajuid berterabur.  Namun disebabkan permintaan Encik Kamarul, dia akur.  Hati Khalis sempat berkata-kata.  Dia ni saja nak mengena ke apa? Alisya yang berada di belakang merasa tenang saat Alisya mengalunkan ayat-ayat suci.  Dia tidak menyangka Khalis berjaya menjadi imam pada hari itu.
            Setelah selesai makan malam, Khalis meminta izin untuk pulang.  Walau pun dia disergah oleh Encik Kamarul pada mulanya, namun akhirnya dia mesra dengan lelaki itu.
            “Khalis, saya minta maaf tau kalau buat awak takut tadi.”  Ujar Alisya sebelum Khalis membuka pintu kereta.  Khalis senyum. 
            “Awak tahu tak kecut perut saya dibuatnya tadi.”  Alisya ketawa.  Tidak boleh dia lupakan sewaktu pertama kali Khalis bertemu dengan ayahnya. 
            “Maaf, ye.”
            “Ala…. Perkara kecik je.”  Perkara kecik?  Masa mula-mula jumpa macam nak terkencing dalam seluar je.
            “Apa pun saya nak ucapkan terima kasih dengan awak.”
            “Kasih diterima.  Tapi kan awak, sekarang ni baru saya perasan.”
            Alisya mengerut dahinya.  Tak faham dengan apa yang dikatakan oleh Khalis. 
            “Perasan apa?”
            “Sejak kita couple, kita dah tak panggil ‘kau’ ‘aku’ lagi.” 
            Alisya terdiam. Yelah, baru Alisya perasan yang sejak akhir-akhir ini dia dengan Khalis lebih biasa membahasakan diri sebagai ‘saya’ dan ‘awak’. Alisya tersenyum.  Malu pula bila Khalis menyebut tentang itu. 
            “Dahlah awak ni.  Baik awak balik dulu.  Nanti kena tempik dengan abah saya, awak salahkan saya pulak.”  Khalis ketawa.  Lupa pula dia berada di rumah keluarga Alisya.  Cepat sahaja dia membuka pintu sambil mengangkat tangan kepada Encik Kamarul yang dari tadi berada di hadapan pintu rumah.  Namun sebelum dia masuk ke dalam kereta sempat juga dia bersuara.
            “Saya tahu awak malu.”  Merah padam wajah Alisya bila dia ditegur begitu.
            Alisya memandang kepada Encik Kamarul. 
            “Dahlah tu Alisya, masuk.  Kalau betul dia nakkan kamu, suruh dia masuk meminang.” Meminang?  Kali ini Alisya pula yang mati kata.  Baru je nak kenal nak suruh masuk meminang.  Abah ni, nasib baiklah si Khalis tu dah balik.  Kalau tidak, sah-sah dia malu dengan Khalis dan silap haribulan esok pergi kerja sampai balik tak dapat nak pandang muka dia.  Sebab malu punya pasal.
            Alisya mula mengemas meja bila jam sudah menunjukkan ke angka 6 petang.  Dia setia menantikan Khalis tiba.  Namun Alisya terkejut bila wajah Sabrina pula yang muncul. 
            “Kenapa Sabrina?”
            “Aku nak minta tolong kau settlekan proposal ni hari ni juga.  Urgent.” Alisya mencapai fail dari tangan Sabrina dengan wajah yang sedikit tidak puas hati.  Agak-agaklah nak bagi pun.  Dah pukul 6 kot. Kalau buat ni bila masa nak siap?
            “Bukan ke benda ni nak lusa?”
            “Hish! Kau ni banyak sangat bunyi.  Kan aku dah kata nak urgent. Takkan tak faham lagi.”  Alisya memandang kepada Sabrina.  Minah dah kenapa nak sound orang bagai.  Selalunya tak adalah meroyan macam ni.  Pelik juga Alisya dengan sikap dingin Sabrina itu.
            “Tapi aku nak balik.  Esok boleh?  Esok aku janji aku buat.  Lagi pun aku dah tutup PC ni.” Ujar Alisya seolah merayu.
            “Bukan lama sangat pun nak buka PC tu balik.  Susah-susah….”  Sabrina terus on PC Alisya.  Haish!  Ini dah melampau.
            “Assalamualaikum, Alisya.  Dah boleh balik ke?”  Tiba-tiba Khalis muncul membuatkan Alisya terkejut.  Melihatkan wajah muram milik Alisya, Khalis tahu sudah tentu ada sesuatu yang telah terjadi.  Tambahan pula Sabrina berada di situ. 
            “Maaflah, Khalis.  Saya kena stay sebab ada benda urgent yang perlu saya selesaikan sekarang.”  Alisya menunjukkan fail yang berada di tangan kanannya. 
            “Eh, Khalis!  Awak nak balik ke?  aku tumpang boleh?”  Entah mengapa Sabrina mencelah dengan tiba-tiba.  Khalis memandang sekilas kepada Sabrina seperti tidak puas hati.  Ek… e…. le…. Sesuka hati je nak menyampuk cakap orang.  Siapa agaknya cakap dengan dia.
            “Tak apalah Alisya.  Saya tunggu awak siap kerja.  Bahaya kalau awak balik malam-malam.  Lagi pun saya dah janji dengan abah awak yang saya nak hantar awak balik.” Khalis tidak menghiraukan Sabrina sebaliknya dia terus berbual dengan Alisya.
            “Saya okey, Khalis.  Saya boleh balik sendiri.  Kalau nak tunggu tak tahu pukul berapa boleh habis.” Tolak Alisya. 
            “Betul tu, Khalis.  Lagi pun dia boleh telefon abah dia datang jemput nanti.  Jomlah kita balik.”  Eh, minah ni.  mambang mana pulak yang rasuk dalam badan dia ni?  kalau sebelum ni ajak balik bukan main liat lagi.  Sekarang apa dah jadi?
            “Tak boleh, Alisya.  Saya dah janji dengan abah awak.  Nanti apa pulak kata dia.  Tinggalkan anak dia sorang-sorang.  Saya tunggu kat bawah kalau awak takut saya duduk sini.”  Ujar Khalis.  Alisya memandang kepada Khalis.  Terharu pula dia dengan Khalis yang sanggup menunggunya.
            “Awak tak risau ke Khalis bawa pulang anak dara orang tengah malam?” 
            “Eh, ada  orang rupanya.  Ingatkan kita berdua je tadi Alisya.”  Khalis memandang kepada Sabrina yang sudah kelat wajahnya.
            “Awak ni Khalis, saja kan nak sakitkan hati saya.”
            “Sakit hati?  Bila masa pulak saya sakitkan hati awak?  Bukan ke awak yang selalu sakitkan hati saya?  Kenapa tak suruh je buah hati pengarang jantung awak yang hantar?”  Merah padam muka Sabrina bila mendengarkan kata-kata Khalis itu. 
            “Yang kau sibuk sangat pasal dia kenapa?” 
            “Tidaklah, bukan ke kau tengah mabuk bercinta sekarang ni.”
            “Kita orang dah putus! Okey, putus!  Puas hati?”
            “O…. jadi sekarang ni dah ludah nak jilat semulalah ni.”  Sabrina kian membahang dengan kata-kata Khalis yang menyindir dirinya.  Mendengarkan pengakuan Sabrina membuatkan Alisya terkejut.  Jadi, sekarang ni nampak sangat Sabrina sedang terdesak. 
            “Awak nak apa sebenarnya ni Sabrina.”
            “Aku nak berbaik dengan kau, Khalis.”
            “Untuk apa?  Kau jangan lupa yang aku ada Alisya.”
            “Aku tahu kau tak sayang dan cintakan dia.”
            “Macam mana kau tahu?  Kau nujum pak belalang ke sampai tahu hati dan perasaan aku.”
            Alisya tidak sanggup melihat Khalis dan Sabrina bergaduh.  Aduh!  Dah macam budak kecik.
            “Tak apalah Khalis.  Awak hantar jelah dia balik.  Semaklah kalau gaduh macam ni.”
            “Mana boleh, saya dah janji dengan…”
            “Tak apa, saya boleh telefon abah jemput saya.”
            “Kalau saya kata tak nak?”
            “Tolonglah Khalis.  Bukan ke ini yang awak nak?”
            “Alisya….”
            “Maaf, Khalis.  Aku ada banyak kerja yang perlu buat.”
            “Tapi Alisya,”
            “Please Khalis jangan ganggu,” Air mata Alisya sudah tidak dapat ditahan lagi.  Sedih rasa hatinya.  Tidak sanggup dia melihat wajah Khalis ketika itu.
            “Fine!  Kalau itu yang awak nak.  Look here Alisya, boleh tak awak pertahankan kehendak awak sendiri.  Saya tahu awak sayangkan saya.”
            Alisya memandang kepada Khalis.  Kemudiannya kepada Sabrina.  Memang tidak dinafikan semenjak dia berkawan dengan Khalis, hatinya sudah terpaut dengan lelaki itu. Namun dia sedar, dia adalah seorang perempuan.  Dia tahu Khalis memendam perasaan dengan Sabrina.  Takkan Khalis boleh jatuh cinta dengannya.
            “Jom balik, Khalis.” Ujar Sabrina yang bagaikan tiada perasaan bersalah. 
            “Kalau kau nak balik, kau baliklah sendriri.  Tak ada masa aku nak hantar kau.” Khalis berlalu meninggalkan Alisya dan Sabrina dalam keadaan terpinga-pinga.
            “Puas hati kau Alisya?”  Alisya memandang sekali lagi kepada Sabrina.  Minah ni dah kenapa?  Cinta tak berbalas, kita pulak yang kena tempiasnya.  Ini memang dah melampau.
            “Eh, kenapa pulak aku?”
            “Sebab kau, Khalis tinggalkan aku.” Alisya mencebikkan bibirnya.
            “Pembetulan ye.  Sebenarnya kau yang buang dia dulu dan kau juga yang kata dia tu bukan taste kau.  Sekarang bila Rafiq dah tinggalkan kau, Khalis juga yang kau cari.”
            “Kau jangan lupa, Khalis sayangkan aku.”
            Kali ini perasaan sedih bertimpa-timpa hadir dalam hatinya.  Betapa dia sedih ketika Sabrina menyalahkan dirinya. 
            “Sabrina, cukuplah apa yang kau dah buat pada aku. Kau larang aku dengan Rafiq, dan sekarang ni kau larang pulak hubungan aku dengan Khalis.  Kau cakap Sabrina.  Apa lagi yang kau tak puas hati dengan aku?”
            “Apa maksud kau, Alisya?”
            “Cuba kau ingat apa yang kau dah buat pada Khalis.  Kau buang dia, kau reject dia dan sekarang bila aku dah rapat dengan dia kau iri hati.  Kau harus ingat, Sabrina.  Keputusan bukan ditangan kita.  Kita ni perempuan.  Aku sebenarnya malas nak bergaduh sebab lelaki tau.  Dah, maafkan aku.  Aku nak balik dulu.  Kerja ni, aku akan siapkan esok.  Aku dah tak ada mood.”
            Alisya meletakkan fail di atas meja.  Dia kemudiannya meninggalkan Sabrina keseorangan.  Selepas ini kalau Sabrina nak kata apa, dia dah tak kisah.  Biar Sabrina tahu apa kesalahannya.
            Keesokkan harinya, Alisya datang kerja seperti biasa.  Matanya sembab kerana banyak menangis.  Malam tadi pun Khalis telefon tidak diendahkan.  Begitu juga dengan mesej Khalis juga tidak dibalas.  Bukan kata balas, baca pun tidak.  Dia mencapai fail yang diberikan oleh Sabrina semalam dan kemudiannya meneruskan kerja.
            “Assalamualaikum….”
       “Wa….a…lai….kum…musalam…” Alisya terkejut.  Lidahnya kelu. Matanya tidak berkelip. 
            “Khalis?” Khalis senyum.  Hilang semua misai dan jambang. Rambutnya telah dipotong pendek.  Hampir sahaja Alisya tidak mengenali Khalis.  Betul ke Khalis ni?
            “Kenapa? Alisya terkejut?  Dah kena bebel bakal pak mertua, ikut jelah.”
            Bakal pak mertua?
            “Jangan buat terkejut sangat.  Susah juga kan, nak ambik hati bakal pak mertua ni.  Tapi setakat potong misai ngan jambang tak ada masalah.  Yang penting saya bersedia nak jadi imam kepada dia.  Rindu pula saya nak jadi imam.”
            Alisya terdiam.  Dia tidak bersuara.  Entah mengapa kakinya terasa berat untuk melangkah. Khalis sudah ada pilihan hati? Betapa sedih hati Alisya di saat itu.
            “Tahniahlah kalau macam tu.”
            Khalis memandang pelik.
            “Kenapa pulak?”
            “Awak dah nak kahwin.”
            “Itulah… Puas juga saya pujuk pak Kamarul untuk pinang anak dia.”
            Pantas kepala Alisya mendongak. Kamarul?  Khalis senyum. Senyuman Khalis itu membuatkan Alisya terleka sejenak.  Baru dia tahu betapa kacaknya Khalis.
            “Dah, jangan nak terkejut sangat.  Jom saya belanja awak sarapan.  Masa sarapan nanti boleh kita bincang majlis kita nanti.  Abah kata, tiga bulan lagi kita nikah.  Dia pun dah tak sabar nak terima menantu.  Dan…. Abang pulak tak sabar nak terima isteri.”
            Abang? Isteri? Alisya memandang kepada Khalis seolah mahukan kebenaran dari lelaki itu.
            “Tapi…”
            “Jangan risau, hujung minggu ni abang datang pinang Alisya.  Abang tak sabar nak terima Alisya sebagai makmum abang.  Mungkin abang tak sempurna, tapi abang nak ucapkan terima kasih sebab terima abang.”
            Tiba-tiba Sabrina tiba di  meja Alisya.  Ternyata Sabrina terkejut melihat perubahan Khali situ. 
            “Sabrina, ini saya kenalkan bakal isteri saya.  Alisya Binti Kamarul.  Maafkan saya, Sabrina.  Saya memang tak layak buat awak.  Saya tak setaraf dengan awak.  Maafkan kami, kami nak sarapan dulu.  Tunggu sahaja  kad jemputan dari kami.” 
            “Tapi…”
            “Selamat tinggal Sabrina!”  Alisya tidak bersuara.  Sebaliknya dia mengekori Khalis dari belakang dengan hati yang berbunga.  Kini dia yakin jodohnya adalah untuk Khalis.  Senyumanya terukir di dalam diam.  Sabrina?  Menangis dia dengan kebahagiaan Alisya dan Khalis. 
 p/s: Cerpen ini pernah tersiar di dalam Ilham Karangkraf

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page