Novel: Bisikan Cinta Bab 13

Teratak pena | 8:54 AM |
BAB 13

            Setelah dua hari berada di Langkawi hati mula terpaut.  Maya dan Sofiah ibarat belangkas.  Ke mana-mana sentiasa berdua.  Di sini, Maya dan Sofiah lebih mengenali antara satu sama lain.  Di sini juga kasih Daniel mula berputik.  Daniel yang mula mencari jalan untuk memenangi hati Sofiah terpaksa menempuhi banyak dugaan memandangkan Maya yang senantiasa berada di sisi Sofiah.  Bukan tak kenal dengan Maya si mulut becok.  Buatnya dia tahu hal sebenar, susah nak tutup mulut dia.  Kalau macam tu, lebih baik bergerak dalam senyap.  Bak kata orang tua, ibarat menarik rambut dalam tepung.  Rambut tak putus, tepung tak berselerak.     
            Maya mengangkat beg yang sarat ke dalam bas.  Ini yang malas.  Bila sudah seronok di sini, rasanya macam nak tinggal di sini.  Kalau nak balik memang payah.  Kebanyakkan penumpang sudah pun berada di dalam perut bas.  Maya yang masih lagi tercari-cari tempat duduk merungut apabila terpaksa memikul barang yang banyak.
            “Setahu aku, masa aku datang kat sini tak adalah banyak sangat barang aku.  Masa nak balik pulak macam nak patah pinggang aku memikulnya.  Oi!  Sofiah!  Marilah tolong aku angkat beg ni.”  Sofiah yang berada di tempatnya segera bangkit. 
            “Itulah, membeli tak ingat dunia.  Aku dah beritahu kau awal-awal lagi.  Jangan beli banyak sangat.  Kalau jadi macam ni, aku juga yang jadi mangsa.” Ngomel Sofiah sambil membantu Maya mengangkat barang.
            “Engkau ni Sofiah nak membebel ke atau nak tolong aku?  Cepatlah sikit.  Berat ni. Kalau nak jadi anak murid aku pun tunggulah sampai KL nanti.  Masa inilah kau nak berleter.  Cepat!” Laung Maya.  Sofiah segera mencapai beg di tangan kanan Maya.
            “Oi!  Ini bukan tempat duduk aku.  Hari tu aku duduk sana.”
            “Cik Maya, kerja dah habis.  Sekarang boleh duduk bersama.”
            “Sudah, jangan nak mengada.  Kau duduk sebelah Encik Daniel.  Macam mana pergi, begitulah juga balik.  Aku nak duduk dengan Lim.  Hah, si Lim mana pulak dia pergi?  Apek!”
            “Oi! Aku di sini.”  Sambut Lim.  Maya yang melihat kelibat Lim segera melabuhkan punggung.  Barang-barang tadi diletakkan di bawah kaki. 
            “Inilah yang aku benci.  Orang perempuan kalau belanja macam nak beli satu kedai.  Nasib baik kau duduk sebelah aku.  Kalau tidak, aku rasa dua-dua duduk atas barang.”
            “Sudah, jangan nak bising.  Ambil ni.  Aku bagi rasuah pada kau.” Maya menghulurkan buah limau kepada Lim.  Lim sambut dengan muka yang agak mencuka.  Geram dia melihat perangai Maya.
            Sofiah yang berada disamping Daniel cuma mendiamkan diri.  Dia masih lagi terkenangkan peristiwa malam semalam di mana Daniel cuba mencurahkan perasaannya.  Pada ketika ini, dia tidak betah untuk bertentang mata dengan Daniel kerana masih lagi disaluti perasaan malu.
            “Macam mana Sofiah? Sudah fikirkan apa yang saya katakan tempoh hari? Atau pun masih lagi meminta izin menambahkan waktu untuk berfikir?  Saya bukan memaksa. Cuma saya berharap yang Sofiah sudi menerima saya.  Saya tidak pernah bercinta selama ini.  Saya minta maaf sekiranya apa yang saya lakukan ini tidak begitu menyenangi Sofiah.  Apa yang saya harapkan akan datang, tiada lagi berencik dengan saya kecuali di pejabat.  Saya benar-benar iklas, Sofiah.”  Bisikan Daniel itu membuatkan Sofiah menambahkan lagi keyakinan kepada apa yang sedang difikirkan kini.  Ya, dia tahu Daniel kini sudah jatuh cinta.
            “Kenapa? Kenapa Sofiah senyap?  Saya bukan nak makan awak sampai awak membisu seribu kata.  Saya kata yang benar.  Bukan cerita bohong.” Sofiah memandang ke arah luar jendela.  Dia tidak tahu untuk berkata apa lagi. Sememangnya dia malu untuk menyatakan hasratnya.  Nanti apa pula kata Daniel.  Tidak dapat abang, adik pun dia hendak.
            “Saya tahu apa yang Sofiah fikirkan.”  Sofiah berpaling ke arah Daniel.  Hai, takkan Daniel pun ada simpan bomoh juga?  Macam nujum pak belalang.  Belum cakap sudah tahu cerita.
            “Saya tahu apa yang berlaku kepada Sofiah dengan abang saya.  Saya tahu Sofiah sukakan abang saya.  Tapi… semuanya sudah berakhir apabila Sofiah mendapat tahu yang abang saya sudah ada teman wanita. Saya tak kisah semua itu. Saya sukakan Sofiah.  Tak salahkan, kita memulakan cinta yang baru?  Adat orang bercinta, Sofiah.  Ada yang merana dan ada yang bahagia.  Apa salahnya Sofiah mencipta kembali cinta di hati Sofiah untuk orang lain.  Peristiwa yang lama usah dikenang lagi. Kelak Sofiah juga yang merana.”
            “Saya hanya menyukai Encik Hafiz.  Tidak lebih dari itu.  Kerana saya tidak sampat untuk menaburkan rasa cinta saya padanya.  Nasib baik saya sedar, saya mula berpijak di bumi yang nyata.  Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi, Encik Daniel.  Sesungguhnya saya bernasib baik.  Kalaulah saya meluahkan hati pada Encik Hafiz, sudah tentu saya juga yang malu.”  Daniel tersenyum dengan kata-kata Sofiah itu.  Ah, ada peluang nampaknya.  Bisik hati Daniel. 
            “Tolong simpankan rasa cinta dan sayang Sofiah untuk saya.  Manalah tahu Sofiah sudi untuk menerima saya.  Saya akan senantiasa bersedia memenuhi ruang hati Sofiah.  Saya tahu, Sofiah sudah mula menyimpan perasaan suka terhadap saya.”
            “Satu saya nak tahu tentang Encik Daniel.  Tapi kalau saya tanya jangan pulak marah.  Saya cuma sekadar bertanya.”
            “Ye ke?  Apa dia?  Saya tak kisah.  Berapa banyak Sofiah nak tanya?  Persilakan.  Mana yang boleh saya jawab, saya akan jawab.”
            “Encik Daniel ni keturunan nujum Pak Belalang ke?”
            Daniel mengerutkan dahi.  “Kenapa?”
            “Sebab Daniel tahu apa yang saya fikirkan.  Encik Daniel dan Encik Hafiz sama saja.”
            “Saya ni Sofiah kalau awak nak tahu, bukan saja expert dalam bidang marketing tetapi juga dalam bidang psikologi.  Lagi pun Hafiz abang saya.  Darah yang mengalir di dalam tubuh saya adalah sama.  Tak salah kalau kami mempunyai perwatakan yang sama.”
            “Tapi Encik Daniel dan Encik Hafiz berbeza.  Encik Daniel lebih banyak berlembut.  Tidak Encik Hafiz.”
            Daniel tersenyum.
            “Sofiah, Hafiz adalah abang saya. Seorang abang mempunyai tanggungjawab yang besar. Apa lagi dia adalah anak sulung di dalam keluarga kami.  Sebab itulah dia bersikap dingin di pejabat. Sungguh pun dia seorang yang tegas, tetapi dia juga seorang yang penyayang. Dia adalah seorang insan yang paling saya sayang.  Dia seorang abang yang hebat.” Pujian itu membuatkan Sofiah terkedu.
“Encik Daniel,  emm… semalam..”
“Sudah saya katakan jangan panggil encik dengan saya.  Kalau Sofiah nak panggil abang pun  tak seronok sikit.”  Usik Daniel membuatkan Sofiah malu.
“Ini…. Baju… Daniel… Daniel lupa nak ambil balik.  Nasib baik saya buat bodoh je bila Maya tanya baju sejuk ni.  Kalau tidak sudah tentu hari ini semua yang ada dalam bas ceritakan perihal kita.

“Anggap saja ini hadiah pertama dari Daniel.  Ambillah.  Daniel ikhlas.” Sofiah diam.  Dia tidak mahu berkata apa lagi. Dia kemudiannya melemparkan pandanganya kembali ke luar.  Dalam diam, Sofiah mula menganyam rasa cintanya kepada Daniel.  Sofiah memandang ke arah Maya yang sedang rancak berbual dengan Lim.  Dalam diam dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabatnya itu. Kalau bukan kerana Maya mungkin dia tidak bersama-sama dengan Daniel sekarang ini.  Ah, Maya kau tahu apa yang tersirat di hati ini.  Kemudiannya Sofiah memandang ke arah Daniel.  Terima kasih atas kesudianmu untuk menyambut cinta ini.  Aku akan cuba memberikan apa yang termampu dan membina tugu cinta kita berdua.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page