COPY RIGHT

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

TIGA JODOH - Teaser 2 Kasih dan Anas Rizal

Siti Norshimah Md Yasan | 5:39 PM |

“Saya dengar kecoh-kecoh tadi, kenapa ya?”

 “Bukan… Si Kasih ni.  Semalam bukan main dia berjalan dengan suami orang.  Itu yang makcik nasihatkan dia.  Yalah, mana tau kalau orang lain tengok. Kan tak manis.  Bukan main mesra lagi makcik tengok dia orang berdua.”

 Tersentak Kasih mendengar cerita itu.  Mungkin Anas Rizal akan memikirkan dia anak dara yang terdesak dan suka menggatal.  Namun hakikatnya dia memang tidak suka dengan lelaki yang bernama Borhan itu. 

Anas Rizal tersenyum mendengar cerita Mak Temah. “Bila jadi tu makcik?”

 “Petang semalam.  Hish!  Buruk betul perangai budak-budak sekarang ni.” 
Anas Rizal tersenyum lagi. “Lelaki tu hitam manis ke makcik?”

 “Ha, yalah tu.”

 “Dia naik motor Lagenda, kan?”

 “Betul tu.”

 “Dia pakai topi?”

 “Ha… eh, macam mana doktor boleh tahu?”

 “Apa yang saya nampak semalam lain pulak makcik. Lelaki tu yang kacau si Kasih ni sampai pucat Kasih Dibuatnya.  Ada ke patut dia kejar si Kasih ni.”
 
        Kasih memandang wajah Anas Rizal. Riak wajahnya membayangkan ucapan ‘terima kasih’ di atas pembelaan Anas Rizal itu. 

 “Eh, makcik nampak dengan mata makcik sendiri.  Takkan si Borhan saja-saja nak kacau si Kasih ni.”
 
         Anas Rizal tersenyum. Hai, bukan main galak makcik ni menabur fitnah. Anas Rizal memandang Kasih dengan penuh rasa kasihan.
 
 “Semalam saya sendiri yang nampak si…. Siapa nama lelaki tu?”

 “Borhan.”

 “Ha, si Borhan tu kejar Kasih.  Sampai naik pucat Kasih dibuatnya.  Nasib baik saya ada kat rumah tok penghulu semalam.  Makcik, pandangan mata kasar banyak menipu kita.  Bukankah baik kita lihat dengan mata hati.”

        Mak Temah terdiam dengan kata-kata Anas Rizal itu.  
    
        “Ya ke?  Mungkinlah kot. Ala… kalau si Kasih ni berkawan dengan Borhan, tak ada salahnya.  Cuma yalah, laki orang kan. Ada yang kena baling pinggan mangkuk nanti.  Makcik bukan apa, tak nak mak si Kasih ni malu.”

 “Kalau makcik tak bercerita, rasanya Kasih tak akan dapat malu.”  Sindir Anas Rizal, sekaligus membuatkan Mak Temah terdiam.

 Saat itu Mak Lijah kembali dari dapur membawa pesanan Anas Rizal dan juga bekas kuih milik Kasih.  Dari dapur, dia dapat menangkap perbualan Anas Rizal bersama-sama dengan Mak Temah.  Senyum sahaja Mak Lijah bila Anas Rizal mematahkan kata-kata Mak Temah.  ‘Baru kau tahu Temah, langit tu tinggi ke rendah.  Jangan nak suka mengata orang.’ 

 “Anak,  ini dia nasi goreng cili api.” 

 “Berapa ni makcik?”

 “Lijah, aku balik dulu.  Banyak kerja aku tak buat lagi kat rumah tu.” Sampuk Mak Temah tiba-tiba.

 “Macam mana kerja kau nak siap Temah, asyik dok kira tangga rumah orang je.”  Usik Mak Lijah yang membuatkan Mak Temah terasa.  Cepat sahaja dia mengangkat punggung berlalu dari situ.

 “Empat ringgit lima puluh sen, nak.” 

         Anas Rizal mengeluarkan duit dan kemudiannya menyerahkan kepada Mak Lijah.

 “Kasih, ini bekal kamu. Kamu jangan nak ambil hati sangat dengan Mak Temah tu.  Nasib baik ada anak ni.  Mak Lijah rasa nak cili je mulut Mak Temah tu.”
 
         Kasih tersenyum kelat.  Dia yakin dengan Mak Lijah.  Mak Lijah tidak pernah mengambil pusing dengan setiap apa yang dikatakan oleh Mak Temah.  Kalau Mak Temah ceritakan pada orang lain?  Sudah tentu orang akan anggap dia anak dara gatal.

 “Terima kasih Mak Lijah.  Kasih dah tak boleh nak cakap apa tadi.  Nak bidas, orang tua.  Tapi sedih juga dengan apa yang dia kata tadi.”  Ujar Kasih.

 “Awak tak ada apa-apa ke?”

 Kasih menggelengkan kepala. “Terima kasih sebab tolong saya.”

 “Tak ada apa-apalah. Lagipun saya kata yang benar.  Borhan tu yang kacau awak.  Saya tahu.” 

 “Tak apalah. Mak Lijah, Kasih balik dulu ya.  Awak, saya balik dulu.”  Sempat lagi Kasih menegur Anas Rizal. 

 Anas Rizal menghantar Kasih dengan pandangan matanya.  Betapa kasihannya dia dengan Kasih yang menjadi umpatan orang walaupun hakikat cerita sebenar lain dan berbeza sekali.

 “Kesian Kasih tu.”  Anas Rizal tersentak bila Mak Lijah bersuara. 

 “Orang kampung ramai kata yang dia tu anak dara tua.  Mana lelaki yang dekat je dengan dia semua jadi umpatan orang.”

 “Dia tak kahwin lagi makcik?”

 “Orang perempuan, nak.  Tunggu pinangan orang je.  Bila Mak Temah tu cerita yang bukan-bukan pasal Kasih, macam mana orang nak masuk meminang dia.  Semua ingat dia tu anak dara tak tahu malu.  Tapi Kasih tu budak yang baik.  Hormatkan orang tua.  Dia buat kuih tolong ibu dia pun sebab nak tampung hidup hari-hari.  Makcik doa sangat-sangat ada orang boleh jaga dia nanti.  Kalau dia dah kahwin, kuranglah gosip Mak Temah kamu tu.”

         Anas Rizal ketawa mendengar cerita Mak Lijah itu. “Tak apalah makcik.  Kita doa sama-sama.” 


         Mak Lijah tersenyum dengan kata-kata Anas Rizal itu. Terdetik juga dalam hatinya, kalaulah Anas Rizal dengan Kasih, tentu secocok. Masalahnya, Anas Rizal sudah berpunya atau belum?

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2016 JIAKREATIFELT. All rights reserved. | Sign in|Top of page